KEPIMPINAN ISLAMI SATU INTERPRETASI
Pernahkah sesuatu pekerjaan terlaksana dengan sempurna tanpa wujudnya seorang yang bergelar ketua? Setiap urusan yang berkaitan mengatur hubungan antara manusia memerlukan seorang pemimpin. Pemimpin yang bertanggungjawab memikul tugasan,membimbing dan memandu pekerjaan itu agar dapat mencapai sasaran.
Sabda nabi Muhammad saw “Jika tiga orang keluar dalam satu pejalanan, maka hendaklah mereka mengangkat salah satu di antaranya sebagai pemimpin”.( riwayat abu daud). Dapat disimpulkan daripada hadis ini bahawasanya al-Qiyadah (kepimpinan) amat penting dalam kehidupan seharian sehinggakan Nabi Muhammad saw umatnya memilih seorang pemimpin hatta untuk tiga orang dalam satu kumpulan.
Sebagai pemimpin teragung, Rasulullah saw mengetahui untuk melancarkan segala urusan, perlu kepada seorang ketua untuk memimpin dan mengawal kumpulan-kumpulan yang melaksanakan urusan tesebut. Pastinya huru hara sekiranya tiada pemimpin yang dilantik, sekaligus ketiadaan organisasi atau pembahagian tugas-tugas di dalam sesuatu pekerjaan. Kepada siapa harus ditaati, diikuti suruhannya dan diterima keputusannya kalau bukan pemimpin yang dilantik secara sepakat oleh ahli-ahli.
Namun, masyarakat atau sesuatu kumpulan bukannya memerlukan seorang pemimpin yang sekadar hanya pemimpin. Setakat mampu memberi arahan, mengharapkan balasan & pujian daripada ahli-ahli, diikuti oleh ahli hanya kerana pangkat, langsung tiada ikatan ukhwah kepada ahli-ahli dan hanya ketua di dalam tugasan tersebut sahaja.
Masyarakat memerlukan pemimpin yang luarbiasa, yang mempunyai Kepimpinan Islam!!. Inilah sifat pemimpin yang diperlukan oleh seluruh masyarakat, kumpulan dan sesuatu organisasi. Kepimpinan Islam semestinya berbeza daripada kepimpinan biasa dalam pelbagai aspek. Seorang pemimpin yang dilantik secara spontan oleh jamaah atau kumpulan. Ianya dilantik secara ikhlas, yang diketahui kebolehannya, keilmuannya dan ketaqwaannya oleh anggota jamaah.
Kepimpinannya bukan hanya dalam tugasan, tetapi masih terselah di luar pekerjaan dan di dalam kehidupan sehariannya. Individu mempunyai jiwa murabbi (pendidik), pengajar dan pengatur yang teliti. Perintah yang diberikan jelas, ahli-ahli tidak merasakan bahawa dia ingin lari dari tanggungjawab dan membebani anggota-anggota dengan tugas-tugas. Perintah yang dikeluarkan bukannya hasil fikirannya sendiri, tetapi setelah bermesyuarat dan berbincang terlebih dahulu dengan anggota-angota.
Seorang pemimpin yang berjiwa Islam, tentunya mewujudkan ukhuwah yang kukuh di antara ahli-ahli, tidak hanya bergaul dengan mereka di dalam urusan kerja, malah diluar kerja. Tidak membataskan pekerjaan itu sebagai sebab untuk berkomunikasi dan berinteraksi. Tidak membezakan jawatan ahli-ahli ketika kerja mahupun diluar kerja. Anggota-anggota menghormati beliau bukan hanya sekadar ketika memegang jawatan ketua tugasan, bahkan ketika beliau bukan lagi menjadi ketua.
Masyarakat kini sedang ketandusan pimimpin berjiwa Islam, dahagakan kepimpinan Islam yang mampu memandu urusan atau tugasan ke arah redha ALLAH swt. Supaya setiap pekerjaan dilakukan dinaungi rahmat Rabbu Jalil dan hasilnya pula adalah sempurna, lancar kerjanya dan sediki sahaja masalah yang dihadapi. Oleh itu dapat disimpulkan bahawa Kepimpinan Islam Satu Keperluan.
Dalam Islam, kepimpinan dilihat sebagai tanggungjawab, bukan sebagai kuasa. Hal ini kerana kepimpinan dalam Islam wujud pada setiap peringkat. Setiap peringkat mempunyai tahap kepimpinan yang tersendiri, sesuai dengan keadaan dan situasinya. Kerajaan bertanggungjawab mempimpin rakyat, ketua yang mempimpin orang bawahan, suami memimpin isteri, ibu bapa mempimpin anak-anak dan begitulah sehingga diri sendiri akan mempimpin diri sendiri. Berasaskan konsep ini, apa yang jelas ialah sikap tanggungjawab yang dikehendaki oleh Islam, agar setiap pemimpin menjaga hak-hak yang dipimpin dengan sempurna. Hal ini adalah berasaskan kepada sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadith yang sahih yang dilaporkan oleh Ibnu Umar:
“Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin” [Muttafaq Alayh]
Berasaskan tanggungjawab ini, seorang pemimpin itu perlulah menjalankan fungsi kepimpinannya seperti mana yang didefinisikan oleh ramai sarjana pengurusan. Definisi sebagaimana yang telah diberikan adalah berasaskan kepada fungsi dan peranan, manakala Islam lebih melihat dari aspek falsafah kepimpinan itu. Falsafah inilah yang akan menjamin perjalanan kepimpinan berasaskan kehendak definisinya yang sebenar.
Kepimpinan yang didefinisikan oleh sarjana pengurusan sebagai satu kemampuan untuk mempengaruhi pengikut untuk mencapai matlamat organisasi hanya akan benar-benar berlaku dengan baik dan efisien jika disertai dengan rasa tanggungjawab oleh seseorang pemimpin. Seorang pemimpin bukan sekadar bertanggungjawab memastikan organisasi mencapai matlamatnya, tetapi menjaga kebajikan orang yang dipimpin, sama ada kebajikan dunia atau pun akhirat bahkan bertanggungjawab memastikan undang-undang Islam tetap terlaksana.
Melihat kepimpinan dari perspektif Islam, kita tidak dapat lari daripada membicarakan tentang falsafah pengurusan Islam itu sendiri dan objektif asal pengurusan Islam yang sememangnya tersendiri. Pengurusan Islam ialah berasaskan falsafah Tauhid iaitu keesaan Allah dan kesatuan asal dan tujuan manusia. Inilah merupakan akidah umat Islam. Pengurusan Islam dianggap gagal, jika falsafah ini tidak dititikberatkan. Manakala objektif pengurusan Islam adalah untuk mencapai al-Falah iaitu kejayaan di dunia dan di akhirat. Jika seseorang pemimpin itu hanya menitik beratkan kejayaan dunia maka ini dianggap terkeluar daripada prinsip-prinsip pengurusan Islam.
Dalam Islam, setiap sistem yang berjalan sama ada sistem ekonomi, sistem kewangan atau sistem pengurusan adalah bermatlamatkan untuk mencapai kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Hal ini menjadikan umat Islam perlu melaksanakan apa jua kerja yang selaras dengan garis panduan syariah Allah yang sudah tentunya demi kebaikan dan kesejahteraan manusia juga. Justeru, kepimpinan yang berkesan adalah yang berjaya mencapai objektif asalnya iaitu menghubungkan manusia dengan Pencipta, serta dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah dengan memakmurkan alam dengan usaha-usaha maslahah serta mengelakkan melakukan fasad.
Imam al-Mawardi menetapkan tujuh syarat yang diperlukan untuk menjadi seorang pemimpin supaya kepimpinannya adalah berkesan dan mencapai objektif yang ditetapkan. Antara syarat yang dibawa ialah mempunyai anggota yang cukup untuk keberkesanan komunikasi dan mempunyai motivasi yang tinggi dan daya memotivasikan orang lain. Manakala Munir Muhamamad Ghadban pula menyentuh bagaimana Islam pada awal munculnya menjadi lebih kuat dengan kemasuk ke dalam Islam oleh ‘figur yang mempunyai ciri kepimpinan’ atau al-Syakhsiyyat al-Qiyadiyyah seperi Umar al-Khattab yang berjaya memotivasikan umat Islam untuk lebih berani mengamalkan Islam dan menyebarkan Islam. Selain Umar al-Khattab, antara figur yang mempunyai karisma dan daya kepimpinan yang tinggi adalah Sayyidina Muawiyah bin Abi Sufyan. Lihatlah betapa pengaruh Islam semakin kuat di zaman kegemilangan khalifah Bani Umayyah, sehingga kemuncaknya pada kepimpinan Umar bin Abd al-Aziz. Antara ciri-ciri persamaan mereka adalah daya kepimpinan yang tinggi, komunikasi berkesan dan pemikiran yang tajam serta motivasi yang tinggi.
Jelas, daripada definisi kepimpinan yang dikemukakan di atas, menunjukkan peranan besar dan kaitan langsung antara kemahiran berkomunikasi dan penyaluran motivasi dengan keberkesanan kepimpinan. Komunikasi dan motivasi adalah perkara lumrah dalam kehidupan seharian. Tiada sebarang perbezaan pun antara sistem pengurusan Islam dengan barat jika dilihat dari aspek teknikal. Namun jika dilihat dari aspek falsafah, objektif, pelaksanaan, dan kesan, terbukti, bezanya umpama langit dan bumi. Dalam tulisan ini, saya akan menggunakan pemerhatian pemikir barat dan Islam dalam aspek teknikal, tetapi akan diperjelaskan pula kedudukan komunikasi dan motivasi dalam penghayatan Islam.
No comments:
Post a Comment